Archive for December, 2005

5) HUKUM GERAKAN NEWTON PERTAMA

Friday, December 2nd, 2005

Assalamualaikum warahmatuLLAH….

Mudah-mudahan ALLAH kekalkan kita pada detik waktu dan saat ketika ini sebagai insan yang melafazkan hembusan nafasnya dengan ungkapan kata-kata kesyukuran sebagai tanda seorang bernama mukmin. Mudah-mudahan juga baginda rasul-Nya Muhammad B Abdullah S.A.W dicurahi selawat serta salamnya termasuk dari diri kita-kita ini, sebagai suatu bentuk curahan hati sebagai bukti kecintaan yang selayaknya membenarkan lautan berapi direnang, gunung nan tinggi didaki. Mudah-mudahan juga seluruh sahabah wa sahabiyah baginda, beserta orang-orang yang berkenan menjadikan keperibadian sebegini sebagai idola, sentiasa dinaungi oleh lembayung rahmah, inayah, hidayah dan barakah daripada Sang Pencipta Alam Semesta.

Muslimin muslimat, ikhwan wa akhawat hafizuLLAH…
Newton telah mengeluarkan suatu teori sebagai menzahirkan pemahamannya terhadap persoalan inersia dengan mengemukakan apa yang kita kenali pada hari ini sabagai “Hukum Gerakan Newton” yang pertama. Di dalam prinsip pertama daripada sekalian banyak prinsip milik Newton ini (tapi benarkah Newton ni ada prinsip??? Jangan-jangan Munafik kot dia ni….mana tau…) si Newton menyatakan bahawa “Sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya, sama ada bergerak dan terus bergerak, atau pegun hidup segan mati tak mahu, selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya”. Ertinya Newton menegaskan dengan penegasan yang setegas-tegasnya (itu sebab namanya “hukum gerakan Newton 1”, sebab bila hukum, ertinya ada penegasan. Kalau tak buat, boleh kena denda) bahawa perubahan hanya akan terjadi seandainya suatu momentum dikenakan kepada objek, guna menyedarkan objek itu dari lamunan, guna ‘mematangkan’ objek itu dengan bermacam jenis keadaan, guna memvariasikan rasa kepada objek itu, agar mudah-mudahan pengalaman-pengalaman dan perubahan-perubahan yang dirasakannya, mampu menjadikan objek itu memperoleh ‘angin baru’ supaya ia tidak lagi ‘bosan’ berada dalam satu keadaan sahaja semata-mata.

Menarik di sini andainya kita mengaitkan Hukum Gerakan Newton nombor wahid (satu) ini dengan kehidupan harian yang kita lalui, yang kita selusuri, dan yang kita nikmati. Di mana andainya daya luar tidak dikenakan, nasib umat Islam akan terus saja pegun, tak berubah, terus menerus ditindas, diinjak dan diperlekehkan, sesuai dengan ‘kepegunan’ yang telah dijanjikan hukum alam. Begitu juga dengan maksiat yang menjalar di dalam tubuh masyarakat; ia akan terus menular dan bergerak, selagi mana tiada ‘daya luar’ bertindak menghentikannya, sama ada dengan menyalakan lampu merah, ataupun membuat road-block, mahupun melanyak maksiat itu dengan penangan K.O karangan Mike Tyson. Dan hal ini sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh ALLAH S.W.T di dalam al-Quran:

“..Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum (pegun terus pegun, bergerak terus bergerak) selagi mana kaum itu tidak mengubah nasib mereka sendiri (mengenakan daya luar)…” (Surah 13:11)

Sungguh, Dzat Yang Maha Kuasa ALLAH S.W.T tidak pernah membebankan hambanya dengan bebanan yang tak mampu dipikul olehnya. Tetapi dek kerana hambanya itu sendiri yang tak pernah mempunyai keinginan mahupun keghairahan untuk berubah, maka masakan tidak nasibnya kekal di takuk lama? Daya luar hanya mampu dikenakan andainya objek-objek ini sendiri mempunyai niat untuk merasakan kelainan sebagai respon terhadap kebosanan yang ia alami sepanjang menuruti Hukum Gerakan Newton -1 ini.

“Sesungguhnya setiap sesuatu bermula dengan niat..”
(Hadith Mutafaqa’alaih)

Nah, perhatikan. Wajarkah Tuhan dipersalahkan setiap kali kelazatan kehidupan tidak dirasakan, walhal lidah itu hanya mampu merasa manis,masam dan pahit, bukannya sedap, tak sedap dan boleh tahan? Nah, saksikan, wajarkah Islam itu dipersoalkan, setiap kali merasa adanya kongkongan dan keterbatasan, walhal Islam tak pernah menolak kemasukan sebarang tindakan daya luar, asal saja perubahan yang diinginkan masih saja selaras dengan hukum alam, pergerakan atau kepegunan (kerana hukum Islam ada yang bergerak-mutaghayyirat, dan ada pula yang pegun –tsawabit). Nah, fikirkan, wajarkah alam yang dikenakan hukuman, walhal alam sendiri sentiasa merintihkan daya luar dikenakan, kerana alam sendiri rindukan suasana penuh keislaman dan penuh ketaqwaan?

Maka kenapa tidak diri sendiri yang dibicarakan, kerana keengganan kita mewujudkan suatu momentum yang memungkinkan kita merasakan kegemilangan dan kecemerlangan yang pernah dicontohkan oleh generasi mukminin terdahulu, sedang mereka meledakkan letupan-letupan yang tak mungkin dikekang oleh penyeru-penyeru kemaksiatan.

“Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).” (Surah 53:39-40)

Bangkitlah wahai sahabatku, kita rubah nasib masyarakat. Perjuangkan iman kalian dengan menulusuri tarbiyyah dan jihad, sehingga ALLAH memberikan kita salah satu daripada dua kemenangan: sama ada hidup mulia, dengan Islam itu Izzah di muka bumi, atau pun kita tinggalkan bumi ini dengan kenikmatan sebagai Syuhada’ sebagai “seni mati” yang paling berprestij sekali. Jika tidak, maka Islam akan tetap terus di posisinya sekarang, sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh al-Quran. Dan Newton pun tersenyum riang, kerana ternyata ia lebih memahami ayat-ayat ar-Rahman berbanding kita semua…

4) Andainya Power Station itu black-out…

Friday, December 2nd, 2005

Assalamualaikum warahmatullah…

Dalam pada ALLAH menguji diri kerdil ini dengan ‘pembekuan’ nikmat kesihatan, masih saja terserlah kemurahan-Nya dengan diberinya segenggam ilham, guna ditabur di pepasir kehidupan…

Ikhwah wa akhawat fiLLAH, mudah-mudahan disinari hidayah oleh ALLAH,
Bila saja ditimpa sedikit kesakitan, mulalah manusia menaruh kembali pengharapannya pada Tuhan. Kalau orang-orang tua kita menasihati anak kesayangannya di perantauan, tentu saja mereka akan menyuruh kita menjaga kesihatan, guna agar kita tak ditimpa kesulitan dalam meng’operate’ tubuh kehidupan. Kerana orang tua kita pastinya khuatir, anak muda di perantauan, bila saja ditimpa sedikit kesakitan, maka siapa lagi yang mahu menjaganya? Siapa lagi yang mahu menguruskan makan minumnya? “Tapawe/tupperware” muntahnya siapa yang nak hulurkan? Pakaian kotornya, siapa yang mahu mencucikan?

Bila cerita pasal takde orang nak jaga ni (tu sebab kan ke elok kalau kita kawin muda. At least ada la orang nak jaga…), ana teringat akan power station (sebab kebetulan ana ambik bidang Electric Power). Berbeza sungguh nasib kita. Kalau namanya power station atau bahasa pasarnya “stesen janakuasa elektrik”, ia pasti ada orang menjaganya. Kalau tak tiap hari pun, minimum seminggu sekali, akan ada engineer yang datang menjenguknya, guna memastikan tiada berlakunya ‘leakage’, guna menentukan tiada berlakunya ‘short-circuit’ lain sebagainya. Sedangkan diri kita pula, tambah pulak yang bujang-bujang, tambah pulak yang dok di perantauan, tiada siapa yang nak menjaga kita. Walaupun hakikatnya ALLAH sentiasa memelihara kita….

Hai…beruntung sungguh dirimu hai sang power station. Kerana makhluk bernama manusia tahu, andainya engkau tidak dijaga, tidak di’belai’, tidak di’tatang’, maka kelak ‘demam’ yang engkau hadapi, akan menjadi semacam satu ‘virus’ pada kehidupan dema, suatu penyakit yang ternyata jauh lebih bahaya berbanding denggi, jauh lebih menggerunkan berbanding nipah, jauh lebih kompleks berbanding AIDS. Kerana demi sesungguhnya yang namanya power station itu merupakan sumber bekalan tenaga kepada sesebuah bandar. Maka kalau ia buat hal, boleh hancus ekonomi bandar tu. Macam yang terjadi beberapa purnama lepas, ketika sebahagian negara mengalami black-out, dek kerana sang pembekal tenaga ni diserang “selsema” agaknya…

Maka dengan yang demikian, sudah semestinya yang namanya power station ini dibelai dan dijaga dengan sebaiknya, tatkala menyedari akan begitu pentingnya ia pada ekonomi, sosial, politik dan segala macam urusan yang melibatkan pementasan kehidupan. Sedangkan untuk diri kita, di mana power stationnya?? Itulah yang namanya hati, tempat bermulanya segala niat. Bukankah Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa setiap sesuatu bermula dengan niat, hinggakan para ulama’ menyatakan semacam kata sepakat akan peri pentingnya masalah niat ini dalam amalan-amalan kehidupan (rujuk Hadith Arbain Imam Nawawi, pada perbahasan hadith yang pertama). Dan bukankah Rasulullah S.A.W mengisyaratkan akan perlunya kita ‘menghantar engineer’, guna memastikan power station kita ini berada dalam kondisi yang baik setiap masa, agar mudah-mudahan tenaga elektrik yang disalurkan tak akan putus tanpa dijangka ?

“..Ketahuilah dalam tubuh badan manusia ada seketul daging, bila mana soleh daging ini, akan solehlah tubuh badan itu seluruhnya, dan bilamana rosak daging ini, akan rosaklah tubuh badan seluruhnya. Ketahuilah, daging itu adalah HATI.”

(juga rujuk Hadith Arbain Imam Nawawi, kali ini pada perbahasan hadith no enam).

Maka begitulah pentingnya hati dalam kehidupan, hinggakan orang bercinta saja, menggunaka lambang hati sebagai simbol kasih sayang. Walaupun hakikatnya tak sama langsung bentuknya dengan bentuk love yang dema dok lukis atas kad, dok pahat kat pokok, dok tenun di baju, lain sebagainya.

Mungkin barangkali TNB boleh buat iklan tentang masalah ni, biar iklan ‘jamban tradisional’ kelolaan Indah Water mendapat saingan….

Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Doakan sempat sembuh untuk menghadapi viva dan coming paper…

-Ibnu Lutfi Abd Wahab-
(menghabiskan sisa ilmu engineer yang ada…)

3)IMAN ITU SINUSOIDAL

Friday, December 2nd, 2005

Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Ditengah-tengah ketension kita, kegusaran kita, kegundahan kita, dan ada sesetengah orang, dalam detik-detik exam ini merasa semacam keseronokan (Penggawa Lembaran contohnya, rujuk “Wasszup Lembaran” terbitan MPDL pada ruangan “Ape kate penggawa?”), izinkan ana menghiburkan kalian, dengan suatu catitan yang sangat berkaitan, sangat bertepatan, sangat relevan dengan kondisi iman yang sedang kita rasakan (atau tak rasa langsung?) pada masa-masa sebegini.

Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH,
Daripada beberapa hadith Rasulullah S.A.W, dan daripada beberapa perbahasan para ulama’, dapat kita simpulkan bahawa sesungguhnya iman yang menyelaputi diri manusia bukanlah dalam bentuk DC current, sebaliknya mengambil bentuk AC current. Ertinya iman kita adalah sinusoidal, maka wajarlah andainya terkadang kita merasakan betapa rindunya kita akan majlis ilmu, betapa dahaganya kita akan nasihat yang baik, dan betapa kotornya kita hingga malu melafazkan kecintaan pada Pencinta Agung kita ALLAH Rabbul Izati, sedang pada masa yang lain kita merasa betapa seronoknya kemaksiatan, betapa lazatnya hiburan, betapa manjanya kemalasan. Maka hal yang demikian wajar, kerana bentuk iman kita sememangnya sedemikian.

Mungkin ada yang berhujah, terutamanya golongan yang rosak aqidahnya, terpesong fikrahnya, tertutup mata hatinya, bahawa ALLAH itu zalim, kerana dengan segala kekuatan dan kekuasaan yang ada pada-Nya, Ia sengaja menciptakan iman kita sinusoidal walhal boleh saja Ia menjadikan iman kita suatu garis lurus yang tak berubah-ubah, tak naik turun, tak pasang surut (seperti mana iman para malaikat!). Memang benar ALLAH boleh saja menjadikan iman kita dalam bentuk DC current, semua kita sama, takde perubahan, takde pergeseran… bahkan wajah kita, peribadi kita, kalau seandainya semua sama, tentu barulah adil namanya. Cuma ana amat tertarik dengan jawapan “Atuk” dalam kisah “Aku Budak Minang”: kalau seandainya semua kita sama, maka tak meriahlah dunia ni!! (sila rujuk buku “Aku Budak Minang” karya Ujang terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd, atau cerita bersirinya dalam majalah GILA-GILA).

Bahkan benar apa yang dikatakan oleh Atuk tadi, kerana al-Quran al-Karim juga menukilkan yang sedemikian.

“Dan kalau ALLAH menghendaki, nescaya ALLAH jadikan mereka umat yang satu, tetapi Dia memasukkan orang-orang yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya. Dan orang-orang yang zalim tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dan tidak pula seorang penolong” (Surah 42:8)

Pak HAMKA dalam tafsir al-Azharnya berkomentar, bahawa di sinilah terpampang kebijaksanaan ALLAH Ta’ala. Kata Pak Hamka, “Dia bisa menjadikan ummat manusia umat yang satu. Tetapi kalau ini terjadi, kendurlah perjuangan manusia untuk memperjuangkan kebenaran. Kalau semua sudah benar saja, tidak ada yang salah, tidaklah dapat lagi manusia mencari perbandingan…”

Bahkan pada ayat yang lain, yang turut sama menceritakan soal ini, tepatnya ayat pada surah Hud[11]:118-119, Pak Hamka mengulas, kalau ada manusia yang ingin disama ratakan di dunia ini (dan memang ada, itu yang wujud puak ‘free-thinker’ tu. Kalau ana, lebih baik jadi ‘thinker berbayar’, dapat duit hasil royalti berfikir. Tak gitu? Hai…dunia hari ni mana ada free oii…), semuanya pintar pergi ke bulan, semuanya pintar menyelami lautan, semuanya sama pintar mencipta mobil dan televisi, atau semuanya nak jadi engineer lain sebagainya, maka siapa pula yang nak jadi kuli bataknya?? Siapa pulak yang nak jadi tukang gunting rambutnya?? Siapa pula yang nak jadi tukang tenun (tukang buat baju…bukan tukang “tenung” ) yang menjahit baju-baju kita?? Maka benarlah kata Atuk tadi; “Tak meriahlah dunia!!” Maka lantaran iman turun naik itulah, kita berupaya dan berpotensi menjadi sebaik-baik makhluk, kerana dalam ketidak-tentuan iman itu, tetap saja kita dapat bangun gah membelahi rimba kehidupan. Bahkan bagi yang mempersoalkan hal tadi, kita jawab gini: Hampir semua perkakas elektrik kita di rumah guna AC current. Maka bila iman kita AC, “perkakas” elektrik di sekeliling kita dapat mengambil manfaat yang besar!!!

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi kerana ALLAH,
Walaupun iman kita “Yazid wa yankus” (turun dan naik), tapi seharusnya hakikat turun naiknya iman kita bukan sekadar berbentuk sinusoidal, tetapi juga dalam bentuk “eksponen menaik” (atau exponential ascend bahasa engineeringnya). Ertinya bahawa walaupun turun naik, tetapi pada hakikatnya iman kita saban hari saban waktu meniti suatu puncak yang tak terjangkau dengan kata-kata, tak tergambar dengan kamera, tak terakam oleh recorder, nak menunjukkan betapa mabuknya kita dengan kemanisan iman, kehangatan ibadah, kelazatan aqidah, sehinggakan kita berada pada “maqam” yang tak mungkin terjangkau oleh orang yang bibirnya tak pernah minum air dari telaga keimanan dan rohnya tak pernah mandi dalam lautan tarbiyyah…..

Tapi bila iman kita berbentuk eksponen menaik, timbul satu masalah baru buat kita. Kerana bila saja graf sinusoidal berumuskan formula eksponen, graf itu bukan saja akan eksponen menaik pada separuh kitar positifnya, tetapi juga akan eksponen menurun pada kitar negatifnya (bagi yang tak belajar ilmu jentera ni, kena tanya bebudak engineeringlah…. Suruh dema lukis graf. Kalau idak tak paham nanti). Maka takkan kita nak biar iman kita jadi begitu? Naik berpada-pada, turun pun berpadi-padi?? (Nota: penggunaan perkataan ‘berpadi-padi’ tidak dibenarkan dalam penggunaan formal. Tetapi untuk artikel ini, dimaafkan –Dewan Bahasa dan Bahasi). Itu bukan lagi “Yazid wa yankus”, tapi dah bertukar jadi “Yazid wa yan kuch kuch hota hei”. Maka apa yang perlu kita buat?? Di sinilah gunanya “rectifier”, atau tepatnya “full wave rectifier”, di mana rectifier ini akan mem’positifkan’ gelombang negatif tadi, menyebabkan iman pada kitar negatif itu terhapus menjadi positif, dan titik minimumnya berada pada sifar. Maka menyentuh mengenai iman kita, harus juga kita mencari semacam rectifier, guna memastikan hubungan kita dengan Ilahi Rabbi tetap terpelihara, terus terjalin dan masih terungkap dalam suatu telenovela yang indah.

Itulah peranannya yang namanya mutabaah! Bacaan al-Quran harian kita. Tahajud kita. Solat berjemaah kita. Istighfar kita. Zikir-zikir kita. Semua ibadah-ibadah ini merupakan suatu suntikan imunisasi yang dapat menjadikan diri kita ‘kebal’ terhadap segala macam ganggu-gugat, provokasi mahupun iklan-iklan yang dipampangkan oleh penaja rasmi bernama Syaitan. Benarlah firman ALLAH Ta’ala di dalam al-Quran;

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepada.mu, iaitu al-kitab dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegar dari (perbuatan) keji dan munkar..” (Surah 29:45)

Tetapi kemudian ada pula yang berhujah, tetap saja bila kita down, iman kita turun ke tahap kosong volt. Itu mudah saja. Pada osiloskop iman kita, kenapa tidak kita naikkan titik reference nya kepada 5 volt misalnya, ertinya walaupun iman kita down, tetapi tetap saja minimum al-Quran yang kita baca 5 Juz misalnya berbanding 7-8 Juz pada waktu-waktu biasa, tahajud kita memadai 2 rakaat pada masa-masa duka, berbanding 6-8 rakaat di masa suka, istighfar kita 70x sehari di masa, di waktu tension, berbanding 100x dan lebih diwaktu dihadapan ALLAH kita mahu memberikan ‘first-impression’, kerana inilah sebenarnya yang kita mahukan daripada hidup kita, inilah sebetulnya yang kita mimpikan dalam cita-cita kita, inilah seharusnya yang kita karangkan dalam amalan hidup kita, sebuah catatan kehidupan yang dinukilkan menggunakan tinta keikhlasan, di atas hamparan kertas kesolehan, guna dipublish di warta ketaqwaan.

Begitulah barangkali graf iman kita….. mudah-mudahan tidak berlaku ‘short-circuit’ ketika memintal litarnya.

-Ibnu Lutfi Abd Wahab-
3 hari sebelum viva, 6 hari sebelum merdeka…..

2) SENSOR: Man Againts Machine

Friday, December 2nd, 2005

Reprogrammable. Multi-functional manipulator. Variety of tasks. Tiga terma inilah yang memberikan kita definisi tentang apa yang dinamakan sebagai ROBOT. Maka atas dasar itulah, yang namanya mesin basuh contohnya, tidak layak, tidak wajar dan tidak patut dipanggil robot, kerana ia tidak mampu melakukan “variety of tasks” yang dituntut oleh terma-terma yang mendefinasikan robot yang telah kita sebutkan tadi [rujuk kuliah EEE 355 Dr Rizal Arshad, “Robot & Pengautomatan” di awal semester]. Kerana ternyata yang namanya mesin basuh, ia masih kurang intelligent untuk melayakkannya berada pada “maqam” yang sama dengan robot-robot yang telah sedia ada pada hari ini.

Ana tertarik ketika mana ana melangkah kaki ke dalam lif Pusat Pengajian Mekanik tempoh hari. Dengan tak semena-mena,pintu lif tertutup. Wahhh…. Mistik ni. Tutup dengan sendiri. Barangkali boleh dijadikan bahan cerita Misteri Nusantara mahupun Ripley’s Belive It or Not. Namun, setelah diadakan investigation yang teliti, ternyata tiada hantu polong mahupun jin tanah yang berperanan di sebalik keajaiban itu, tetapi pada pintu lif itu terdapat ‘sensor’ (bukan sensored) ataupun dalam bahasa ibundanya ‘penderia’ yang dapat men’detect’ kemasukan ana, sehinggakan yang demikian tindak lanjut daripada itu pintu lif tertutup (tanpa perlu menyebut jampi dalam Ali Baba Bujang Lapok).

Ikhwan wa akhawat rahimakumuLLAH,
Cuba perhatikan kisah ini. Sungguh pun lif, yang seperti mana nasibnya dengan mesin basuh, tidak layak untuk kita kategorikan sebagai robot dek kerana kurang intelligent, tetapi dalam kekurangan dan ke”tak intelligent”annya itu, sensornya tetap saja peka dan mampu mendetect pergerakan-pergerakan dan perubahan-perubahan di persekitarannya, maka timbul pertanyaan, kenapa manusia, yang telah ALLAH nyatakan sebagai “la qad khalaqnal insana fi ahsani taqwim” [rujuk surah 95:4], mengapa “sensor” yang ada pada diri kita gagal untuk berfungsi dengan baik? Walhal kita jauh lebih mulia daripada robot, dan sudah barang tentu jauh lebih mulia berbanding lif itu tadi.

Inilah punca kelemahan umat Islam. Bila saja sensor yang ada pada diri kita gagal memainkan peranannya hingga kita tidak lagi peka akan penindasan demi penindasan, tohmahan demi tohmahan, hinaan demi hinaan dan injakan demi injakan yang ditamparkan ke wajah agama kita, menyebabkan kita tetap saja berdiam diri membiarkan lumpur dicalit di muka. Ya benar, ramai di kalangan umat Islam yang kaya. Bahkan dalam ranking 10 negara terkaya, ternyata didominasi oleh negara Islam. Tetapi bila saja sensor yang ada pada kita rosak, menyebabkan kita masih gagal mengumpulkan dana seperti mana yang dilakukan oleh para misionaris yang dapat menubuhkan satu dana khas, guna memberi elaun pada golongan yang murtad, guna menghantar pendakyah-pendakyah mereka ke pedalaman Sabah dan Sarawak, orang asli dan sebagainya. Ya benar, ramai di kalangan kita yang cerdik. Tetap ternyata dengan kecerdikan itu, masih saja wujud jurang yang cukup besar antara pelajar yang cerdik ini dengan pelajar yang kureng, menunjukkan lemahnya ukhwah antara kita, sedangkan sensor yang ada pada pelajar non muslim, bangsa Cina misalnya, menyebabkan perasaan mereka mendetect suatu ukhwah dan kasih sayang hinggakan wujudnya suatu kerjasama dan tampung menampung sehingga akhirnya ekonomi dikuasai oleh mereka. Ya benar, berapa ramai di antara kita mampu merintis teknologi yang tak terjangkau oleh golongan kuffar, tetapi dek kerana tertutupnya power system yang mensupply tenaga kepada sensor kita menyebabkan kita memilih untuk makan gaji di bawah kilang-kilang yang dikuasai oleh non-muslim, sehinggakan tetap saja kita merujuk kepada yang namanya Jepun, yang namanya Amerika, yang namanya Rusia, tiap kali kita membicarakan tentang negara maju.

Walhal ALLAH SWT menyatakan, bahawa yang namanya orang berakal, orang cerdik, orang bijak; bukanlah diukur daripada CGPAnya, tidak!! Bukanlah diukur pada ketebalan speknya, justeru tidak!! Tapi yang namanya orang yang berakal, ialah dema-dema atau depa-depa yang mana seluruh jirim yang memenuhi skop penglihatan mereka, dan silih bergantinya malam dan siang membawa peristiwa-peristiwa yang pelbagai, ada yang namanya Clinton Sang kaki pompuan, ada yang namanya Bush sang durjana, ada yang namanya Sharon yang celaka, ada yang namanya ‘maleng’ curi ayam di waktu malam, menjadi tanda-tanda kekuasan Tuhan, menjadi bahan-bahan renungan, menjadi topik-topik kajian, semacam suatu ilham padanya, untuk ia mempersembahkan sebuah karya agung yang melayakkannya dinobatkan Sasterawan Negara di Syurga kelak.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, menjadi ayat-ayat/ tanda-tanda/ signs buat orang-orang yang berakal” (Surah 3:190)

Benar, setiap kita ada kelemahan. Tetap bila mana kita sedar saudara-saudara kita ada kelemahan, sensor kita seharusnya menhantar maklumat pada program agar dengan demikian tindak lanjut kita ialah kita menampung kelemahan saudara kita, bukan kita menyebarkan kelemahannya itu. Bukan kita menghentam saudara kita itu. Bukan kita menjatuhkan sahabat kita itu.

Walhal inilah yang berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini. Bila saja sensor kita tak befungsi, ertinya bukan saja nilai diri kita menjadi lebih rendah daripada robot, bahkan lebih hina nilainya daripada mesin basuh. Fikirkan dan renungkanlah.

(tapi di mana sensor kita ya????)

(dipetik daripada tazkirah Maghrib yang disampaikan di Surau SH3 pada 16 Febuari yang lalu, selepas berlalunya paper Robotic.Perghh…. susah giler…)

1) PRINSIP KEABADIAN TENAGA

Friday, December 2nd, 2005

Assalamualaikum warahmatuLLAH…

Ikhwah yang dikasihi sekalian,
Di tengah kesibukan dan ketekunan kita menghadapi saat-saat ‘getir’ menghadapi peperiksaan, izinkan ana menukilkan sesuatu, guna menterjemahkan segala bentuk wacana ke’engineer’an yang ada dalam benak pemikiran ini, mudah-mudahan akan teraplikasilah segala pengetahuan, pengalaman, dan ‘keperitan’ selama 4 tahun bergelumang dalam dunia mesin dan teknologi ini.

Ikhwah fiLLAH yang dirahmati ALLAH,
Semua kita sedia maklum, sama ada yang ambil sains fizik mahupun yang ambik sains biologi, akan suatu ketentuan, suatu ketetapan, suatu prinsip yang kita kenali sebagai “Prinsip Keabadian Tenaga”, di mana tenaga tidak boleh dicipta mahupun dimusnahkan. Ia hanya melalui suatu proses “pertukaran” daripada satu bentuk ke bentuk yang lain (barangkali ini yang dimaksudkan oleh Darwin ketika mengemukakan teori evolusinya…barangkali…). Sebagai contoh, cahaya matahari yang ada di sekeliling kita tidak hilang sebegitu saja, bahkan ia di”transform” ke suatu bentuk tenaga yang lain; kepada tenaga kimia oleh tumbuhan, kepada tenaga elektrik oleh inverter (macam projek tahun akhir ana…yang gagal…tapi tetap saja boleh score andainya boleh bagi sebab kenapa gagal mendapat hasil yang diinginkan), kepada tenaga batin oleh tongkat ali….. pokoknya ia tak terhapus, walakin hanya di”terjemahkan” ke dalam beberapa “bahasa” tenaga yang lain, yang sedikit berbeza dengan tenaga asalnya. Cerita “Crayon Sinchan” misalnya, sungguhpun diterjemahkan ke pelbagai bahasa; ke Bahasa kita di televisyen, ke bahasa Indonesia lewat CD, tetapi “tenaga kelawakannya” tetap saja terpelihara, kerana lawaknya memenuhi konsep keabadian (barangkali).

‘ala kulli hal, sedar tak sedar, konsep ini seakan-alan sama dengan “Prinsip Keabadian Nikmat” yang berlegar dalam setiap saat denyutan nadi kita, setiap tarikan nafas dari udara, dan setiap bit memori sel otak yang terjelma ketika mana kita melayari bahtera kehidupan ini. Cuba renungkan sejenak, mana pernah Dzat Yang Maha Kuasa ALLAH SWT melupakan pemberian nikmat buat kita, yang mana berdasarkan “prinsip keabadian nikmat” ini, sudah seharusnya dan sewajarnya kita tukarkan nikmat-nikmat ini kepada suatu bentuk penghambaan dan ketaqwaan guna mensyukuri nikmat ALLAH SWT ini. Ya benar, bagi yang belajar ilmu jentera ini, kita ada yang namanya “losses”, tetapi kerana itu setiap cabang ilmu jurutera menitik beratkan yang namanya efficiency (kecekapan), rumus yang dipakai demi mengurangkan losses, dan memaksimumkan perubahan tenaga ini. Maka begitu juga dengan hidup kita. Sungguh pun tak mungkin 100% nikmat Rabbul alamin ini dapat kita jelmakan dalam suatu bentuk penghambaan diri yang total, setidak-tidaknya kenapa tidak kita berusaha meningkatkan sedaya mungkin efficiency nikmat ini? Bagaimana caranya? Maka penuhilah seruan ALLAH dan Rasul-Nya ketika mereka memanggil kita kepada suatu “kehidupan” (seperti yang tertera dalam surah 8:24), penuhilah panggilan “batman” ketika mana ALLAH dan Rasul menyeru kita supaya menjadi penolong agamanya (seperti yang terpahat dalam surah 61:14), penuhilah tawaran ALLAH SWT ketika mana Dia mengofferkan “Prinsip Keabadian Nimat” ini, kerana ternyata benar seperti mana tenaga tak akan terhapus, nikmat ALLAH yang kita jelmakan dalam bentuk ketaqwaan, ternyata di”tukarkan” kembali kepada suatu bentuk nikmat yang lebih memuaskan hati (bukak surah 14:7).

Atau Prinsip seperti ini tidak sesuai terapply dalam kehidupan?? Terpulang… sekadar coretan buat renungan, dari seorang insan yang tidak mahu segala ilmu-ilmu jenteranya tak mampu diterjemahkan kepada suatu lukisan kehidupan… maka inilah cubaan-cubaannya untuk memantulkan refleksi teknologi ke dalam suatu gambaran keimanan….

Mudah-mudahan terhibur…

Assalamualaikum warahmatuLLAH….